Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengambil alih peranan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang "bercuti".

SHAH ALAM – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan beliau telah menelefon salah seorang Ahli Parlimen UMNO yang akan lompat parti pada pagi Jumaat lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Selangor bagaimanapun memberitahu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd. Fasiah Fakeh tidak mengaku akan lompat parti.

Malah, jelas beliau, bekas Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam juga tidak tahu menahu nama beliau berada dalam senarai Ahli Parlimen UMNO yang akan lompat parti dan viral pada masa sama.

“Saya telefon dan dapat bercakap dengan Fasiah pada pagi Jumaat lalu. Saya tanya pasal lompat parti, beliau tidak mengaku.

“Saya kata nama beliau dalam senarai Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti, beliau pun tidak tahu menahu hal itu. Jadi saya kata tidak betullah ini

“Tapi lepas solat Jumaat, beliau dan lima yang lain lompat parti dan selepas itu saya tidak dapat hubungi beliau lagi. Saya rasa mereka sudah tandatangani surat keluar parti lebih awal, tapi bila tanya sebelum ini semua yang lompat parti tidak mengaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan isu lompat parti di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada UMNO Selangor dapat menghidu tindakan Mohd. Fasiah akan keluar parti lebih awal sebelum ini.

Mengulas dakwaan UMNO Pulau Pinang mahu tindakan tegas diambil terhadap dalang yang mendorong sekumpulan Ahli Parlimen UMNO keluar parti, Ismail Sabri memberitahu beliau tidak mengetahui kewujudan dalang tersebut. – MalaysiaGazette