KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali hari ini meluangkan masa hampir 45 minit untuk melihat sendiri keadaan anggota bomba yang cedera parah, Muhammad Adib Mohd. Kassim selepas dilaporkan kembali kritikal sejak semalam.

Siti Hasmah yang tiba jam 3 petang  di Institut Jantung Negara (IJN) bagaimanapun beredar kira-kira 3.45 petang tanpa diketahui pihak media yang menunggu sejak awal pagi tadi.

Berdasarkan gambar yang dikongsi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini, kehadiran Siti Hasmah menziarahi Muhammad Adib dibuat secara mengejut.

Menurut pihak IJN, Dr Siti Hasmah hanya melihat Muhammad Adib secara jauh di sebalik dinding kaca di Unit Rawatan Rapi (ICU) sambil mendengar taklimat daripada doktor yang bertugas.

Malam semalam, kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 36 jam lalu.

IJN dalam kenyataannya malam semalam berkata, selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru Muhamad Adib didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu menyebabkan pertukaran gas tidak berkesan.

Berikutan perkembangan itu, IJN membuat keputusan untuk memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada jam 9 malam semalam untuk membantu keperluan sistem pernafasannya. – MalaysiaGazette