Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bercakap pada sidang media khas mengenai isu lompat parti di Bangunan UMNO Selangor, Shah Alam. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2018.

SHAH ALAM – UMNO Selangor melahirkan sokongan tinggi untuk terus menyokong dan kekal serta setia kepada parti ketika ini.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum dapat dinyatakan lagi pada masa sekarang.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Selangor berkata, ini kerana UMNO negeri itu ketika ini tidak memiliki korum yang cukup untuk mengadakan mesyuarat dengan Ketua-Ketua Bahagian.

“Setakat ini belum bincang sokongan kepada Presiden parti kerana kami tidak cukup korum. Ramai yang cuti dan menunaikan umrah, kita tunggu selepas mereka balik.

“Apabila semua sudah balik cuti, ada keperluan dan peluang waktu itu kita akan bincang. Semua boleh terjadi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan isu lompat parti di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Mengulas gesaan UMNO Bahagian Sungai Besar dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menggesa Zahid berundur, Ismail Sabri berkata, semua ahli parti termasuk di peringkat bahagian dan cawangan berhak memberi pendapat masing-masing.

Namun, jelas beliau, ia tidak menggambarkan pendirian parti kerana setiap keputusan UMNO negeri akan diputuskan oleh mesyuarat perhubungan.

“Tetapi ahli kepimpinan parti boleh buat pandangan masing-masing.

“Ramai lagi ahli, bukan Khairy sahaja dan dalam UMNO kita meraikan perbezaan pendapat. Kita ada kebebasan dalam UMNO dan parti tidak mengamalkan pemerintahan ditaktor,” katanya. – MalaysiaGazette