KUALA LUMPUR – Kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak sah menjadi milik Kedah untuk beraksi dalam Liga Super 2019.

Sesi menandatangani kontrak itu berlangsung di sini sekali gus mengesahkan spekulasinya ke skuad Hijau Kuning itu sejak kebelakangan ini.

Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) di laman rasmi Facebook miliknya hari ini.

Ketua Unit Pasukan Liga Super Kedah, yang juga Naib Presiden KFA 1, Anas Hafiz Mustafa hadir menyaksikan sesi tandatangani itu setelah sekian lama perbincangan kedua pihak dijalankan.

Ini kerana bagi menghormati Zaquan untuk memberi fokus kepada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 sehingga Harimau Malaya muncul sebagai naib juara.

Zaquan yang beraksi di bahagian serangan merupakan pemain Kuala Lumpur musim ini.

Dia bangkit daripada prestasi suram sebelum ini dengan beraksi cemerlang bersama skuad ibu kota itu dan kehadiran dijangka memberi kesan positif buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.

Pengalaman luasnya pada peringkat antarabangsa dapat memberi kelebihan bukan sahaja kepada pasukan namun pemain muda Kedah yang kini bersama skuad utama. – MalaysiaGazette