Pakar Ekonomi Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berucap pada Pelancaran '19th Malaysia Economic Monitor on Realizing Human Potential' di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2018
Pakar Ekonomi Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berucap pada Pelancaran '19th Malaysia Economic Monitor on Realizing Human Potential' di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bank Dunia sekali lagi menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.7 peratus tahun depan dalam tempoh dua bulan.

Oktober lalu Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia bakal berkembang 4.9 peratus pada 2019.

Pakar Ekonomi Negara Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata, terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada penurunan KDNK tersebut iaitu penurunan perbelanjaan kerajaan serta pelaburan yang lebih rendah sama ada dari sektor swasta mahupun awam.

“Ini disebabkan oleh perubahan kerajaan malah kerajaan (baharu) telah pun mengumumkan pemotongan perbelanjaan besar-besaran yang menyebabkan kami terpaksa menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Malah pada separuh pertama tahun ini pun, kita sudah dapat melihat kadar pelaburan semakin merosot disebabkan banyak pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat namun ia telah menjadi faktor penyumbang kepada penurunan unjuran KDNK.

“Pendapatan kerajaan juga dijangka merosot walaupun kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah di dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini termasuk bakal mengenakan cukai kepada penyedia perkhidmatan import dan penyedia perkhidmatan media import seperti Netflix dan sebagainya,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia: Merealisasikan Potensi Manusia oleh Bank Dunia di sini hari ini.

Menurut Shakira, risiko yang disebabkan oleh faktor luaran juga dijangka meningkat paada tahun depan didorong oleh ketidaktentuan global dan kemungkinan berlakunya peningkatan ketegangan di antara China dan Amerika Syarikat.

“Mungkin ada peluang jangka pendek kepada Malaysia untuk meraih manfaat daripada pasaran Amerika Syarikat disebabkan oleh peralihan dalam perdagangan dan pelaburan dari China namun peningkatan ketegangan perang perdagangan tersebut mungkin menyebabkan penurunan dalam keyakinan pelabur.

“Ini bakal memberi impak negatif kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia,” ujarnya.

Menurut Bank Dunia, pertumbuhan eksport dijangka terkesan akibat kelembapan permintaan global terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik.

Bank Dunia mengunjurkan peningkatan kadar inflasi tahun hadapan dipacu oleh peningkatan harga minyak domestik susulan pelaksanaan mekanisme apungan harga bahan api bermula suku kedua 2019. – MalaysiaGazette