Khairy Jamaludddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak mencetuskan ketegangan atas nama Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau sebaliknya, mengajak rakyat terutama umat Islam untuk sama-sama menghormati pemergian wira negara itu dengan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya.

“Hari ini hari untuk menghormati wira negara Adib. Sama-sama mendoakan agar roh almarhum dicucuri rahmat-Nya.

“Perasaan marah kita pendam seketika. Jangan cetuskan ketegangan atas nama Adib. Yakin dengan kebolehan polis dan pendakwa (raya) untuk bertindak dengan cepat dan tepat,” katanya menerusi hantaran Tweet beliau hari ini.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pada jam 9.41 malam tadi.

Jenazah Allahyarham diterbangkan dengan helicopter MI-17 dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat, Subang, dekat sini ke kampung halamanya di Kuala Kedah kira-kira jam 8 pagi tadi. – MalaysiaGazette