Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz
Peguambela dan Peguamcara Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPURĀ – Laporan penahanan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan ketika dipanggil memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dianggap sebagai berat sebelah.

Peguambela dan peguamcaranya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita tempatan mengenainya tidak tepat, dimanipulasi dan disensasikan bagi tujuan mengaibkan anak guamnya.

“Tindakan SPRM itu dengan harapan untuk memberikan gambaran kepada umum bahawa kerajaan lama dipenuhi oleh pegawai korup termasuk TH yang hanya mengklepet duit rakyat dengan menyalahgunakan kedudukan jawatan mereka.

“Kami telah mengambil keterangan Datuk Adi dan kami mengesahkan bahawa laporan berita ini adaah satu penipuan terancang untuk melarikan fokus awam daripada isu kegagalan kerajaan mengurus ekonomi negara dan mengawal hubunga perpaduan antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, bekas COO TH itu ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 3 petang semalam untuk proses reman jam 9 pagi hari ini ketika hadir memberikan keterangan berhubung penggunaan syarikat kontraktor Penghias Dalaman Tabung Haji (AG Reka) untuk membina almari di rumahnya.

Ini susulan laporan polis yang dibuat TH pada 30 November lalu berhubung penyalahgunaan wang dana jemaah haji dan untuk salah nyata dalam perjanjian korporat.

TH membuat dua laporan terhadap bekas pemegang jawatan, iaitu bekas ketua pegawai eksekutif Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, ketua pegawai eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah, ketua pegawai kewangan Datuk Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan pengurus besar kanan bagi perkhidmatan korporat dan hartanah Rifina Md Ariff.

Mohd Khairul Azam juga berkata, keterangan dan bukti yang dimiliki anakguamnya menunjukkan bahawa beliau membayar perkhidmatan kontraktor hiasan dalaman berkenaan dengan menggunakan wang peribadi beliau.

“Terdapat semua bukti pembayaran pada kadar sebenar bukannya pada kadar diskaun atas perjawatan anakguam kami di Tabung Haji.

“Kesemua bukti ini telah ditunjuk kepada SPRM, namun disebabkan SPRM berada dalam arahan seseorang untuk mendakwa, maka kesemua bukti berkenaan diarah untuk diabaikan oleh SPRM.

“Kami akan membantah permohonan reman pagi ini. Perbicaraan melalui media sebegini tidak sihat untuk Malaysia. Tetapi jika itu yg di mahukan, “bring it on”,” katanya lagi. – MalaysiaGazette