Bermula esok, semua cawangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan kembali beroperasi seperti biasa.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.61 bilion untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2018 meningkat 12.82 peratus daripada RM12.95 bilion untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.

Sebanyak RM1.33 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar RM14.61 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM13.28 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata, di sebalik persekitaran pasaran global yang tidak menentu akibat perang perdagangan Amerika Syarikat-China, KWSP masih mampu mencatatkan peningkatan pendapatan hasil daripada pemulihan pasaran ekuiti Malaysia dan Asean pada suku pertama tahun ini.

Pasaran ekuiti negara maju juga terus mencatatkan pertumbuhan positif berbanding suku tahun sebelumnya.

“Ketidaktentuan semakin terasa di rantau ini dan telah menyebabkan kejatuhan dalam harga pasaran ekuiti serantau pada suku keempat 2018. Ini pastinya akan memberi cabaran besar kepada KWSP untuk mengekalkan momentum pendapatan yang sama untuk suku tahun keempat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam suku ketiga 2018, ekuiti yang merangkumi 40.67 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP terus menjadi penjana pendapatan utama dengan menyumbang RM8.89 bilion, atau 60.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan untuk suku tahun tersebut. Pendapatan dividen telah meningkatkan prestasi portfolio ekuiti domestik pada suku tahun yang sama.

Sebanyak 50.72 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus menjana pendapatan konsisten dan stabil, serta mengurangkan risiko keseluruhan dan melindungi ketidakstabilan portfolio KWSP, selaras dengan fungsi KWSP sebagai dana seimbang.

Pada suku ketiga, pelaburan pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.73 bilion, atau 32.40 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun ketiga.

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Bon Sama Taraf dalam suku bawah kajian meningkat kepada RM2.50 bilion, manakala pinjaman dan bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.24 bilion.

Sepanjang suku tahun yang dikaji, hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM726.23 juta, naik daripada RM91.73 juta yang dicatat pada suku tahun yang sama tahun lepas. Peningkatan ketara ini adalah disebabkan oleh pendapatan dividen yang diterima lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 3.92 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan, menyumbang RM265.39 juta kepada pendapatan pelaburan KWSP.

Pelaburan dalam kelas aset ini, yang merangkumi bil perbendaharaan, kertas komersial, sijil deposit jangka pendek, perjanjian belian balik dan lain-lain, memberikan aliran pendapatan yang tetap dan berperanan penting dalam memenuhi keperluan aliran tunai jangka pendek KWSP.

Selaras dengan pelaksanaan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (MFRS 9) yang telah berkuatkuasa 1 Januari 2018, keuntungan modal atas pelupusan ekuiti berjumlah RM5.17 bilion untuk suku ketiga 2018 akan disalurkan kepada keuntungan terkumpul daripada Penyata Pendapatan Komprehensif Lain dan bukan kepada Penyata Untung Rugi seperti amalan MFRS 139 sebelumnya.

Tambahan lagi, di bawah MFRS9, KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuitinya.

Simpanan Syariah memperoleh pendapatan hanya melalui bahagian portfolio Syariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Syariah dan portfolio konvensional. – MalaysiaGazette