Racun perosak dipercayai menjadi punca kematian 15 orang penduduk yang makan nasi tomato di sebuah kuil di Karnataka, India. foto AGensi

KARNATAKA – Racun perosak yang diharamkan penggunaannya ditemui dalam makanan yang membunuh 15 orang di sebuah kuil di sini, baru-baru ini.

Ujian makmal terhadap makanan dan muntah menunjukkan wujud monocrotophos – racun perosak yang boleh menyerang sistem saraf.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah meminta India mengharamkan penggunaan racun perosak itu sejak sedekad lalu.

Tetapi India masih menggunakannya bagi tanaman bukan sayur kerana ia berkesan dan lebih murah daripada alternatif, kata seorang pegawai kanan kerajaan.

Monocrotophos hanya berharga kira-kira 50 rupee (AS$0.70) sekilogram, sementara alternatif yang dipatenkan akan menelan kos sebanyak 20,000 rupee, kata Pranjib Kumar Chakrabarty, Penolong Pengarah Majlis Penyelidikan Pertanian India.

Dalam kejadian di kuil itu, lebih 100 orang dimasukkan ke hospital selepas memakan sebahagian daripada nasi tomato.

“Kami sedang mencari bagaimana makanan itu boleh mengandungi racun perosak dan tidak menolak berlaku khianat.

“Beberapa orang telah ditahan dan siasatan lanjut dijalankan,” kata Supritenden Daerah Chamrajnagar Dharmender Kumar Meena.

Namun, beliau tidak menyatakan jumlah tersebut.

Racun perosak itu adalah racun sama membunuh 23 kanak-kanak di negeri Bihar pada 2013 yang berpunca daripada tempat simpanan minyak masak yang sebelum itu digunakan untuk simpanan monocrotophos.– MalaysiaGazette