Najib Razak

KUALA LUMPUR – ‘Keputusan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menyerahkan kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden jelas adalah satu tindakan mulia yang mementingkan parti melangkaui kepentingan peribadinya’.

Demikian menurut bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengulas mengenai perkembangan terkini situasi yang membadai parti pimpinannya sebelum ini.

Menurut Najib, Ahmad Zahid telah melakukan satu pengorbanan yang besar menjangkaui kepentingan peribadi beliau.

“Sebagai presiden yang dipilih secara demokratik oleh parti, ini ialah satu pengorbanan peribadi yang besar dan bukan satu langkah yang mudah untuk beliau ambil,” katanya dalam Facebook beliau.

Pun begitu, Najib menaruh keyakinan bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam menjalankan tugas sebagai Presiden agar dapat membina semua parti itu di masa akan datang.

“Beliau memiliki visi, kepimpinan dan kepercayaan pemimpin dan ahli parti untuk menstabilkan serta bina semula UMNO,” katanya lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran tindakan Ahmad Zahid yang mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu dan menyerahkan tugasnya kepada Mohamad.

Semalam, Mohamad diumumkan akan menjalankan tugas Presiden susulan kemelut yang melanda parti itu dan berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan serta mahu kepimpinan di peringkat akar umbi memberi fokus kepada memperkukuhkan parti.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau tidak berminat untuk mendapatkan kembali apa-apa jawatan dalam parti itu.

Ujarnya lagi, beliau kini fokus dalam misi untuk membersihkan nama beliau atas pertuduhan rasuah yang dihadapinya kini.

“Sejak minggu lalu juga, ramai pemimpin dan ahli-ahli UMNO meminta saya untuk mengambil kembali kepimpiman UMNO ataupun menjadi ketua umum parti.

“Saya ucapkan terima kasih di atas kepercayaan itu namun saya tidak berniat atau berhasrat untuk menjadi ketua umum parti,” katanya memberikan respon atas cadangan supaya Najib dilantik sebagai Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang, sementara Ahmad Zahid bercuti.

Cadangan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam. -MalaysiaGazette

Mohamad pangku tugas-tugas Presiden UMNO – Zahid