Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

PETALING JAYA – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah berbincang tentang wakil rakyat UMNO yang meninggal parti beramai-ramai, keadaan yang membolehkan kerajaan menikmati kelebihan sokongan dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, data terkini menunjukkan Pakatan Harapan mempunyai 129 kerusi dan jika ditambah dengan 19 kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang prokerajaan, maka ia menjadikan Pakatan Harapan sudah mencecah paras 148 kerusi untuk kelebihan dua pertiga.

Kelebihan itu juga membuka laluan kepada kerajaan untuk meminda Perlembagaan, keadaan yang tidak berlaku di Dewan Rakyat untuk 10 tahun yang lalu.

Vui Keong berkata, antara undang-undang yang mahu dipinda kerajaan termasuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan melaksanakan “Perjanjian Malaysia 1963” .

“Saya berharap wakil rakyat prokerajaan akan menyokong dasar kerajaan apabila mesyuarat Parlimen bersambung pada tahun depan.

“Menyemak semula Perjanjian 1963 adalah berpihak kepada dua negeri di Borneo dan tiada alasan untuk wakil rakyat berkenaan untuk tidak menyokong,” katanya kepada Sinchew Daily.

Katanya, selain wakil rakyat daripada parti prokerajaan, terdapat juga 13 Ahli Parlimen bebas yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Vui Keong percaya, lebih ramai Ahli Parlimen UMNO juga akan meninggalkan parti itu.

“Saya jangkakan bahawa akhirnya tidak sampai separuh wakil rakyat UMNO yang akan tinggal dalam parti itu.

“UMNO boleh kira bernasib baik jika ia tidak dibubarkan,” katanya.

Mengikut perhitungan, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, Pribumi Bersatu dan DAP, serta Warisan dan UPKO dari Sabah mempunyai 129 kerusi.

GPS yang terdiri daripada parti-parti Sarawak mempunyai 19 kerusi.

BN yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC mempunyai 39 kerusi selepas kemenangan MIC di Cameron Highlands diumum sebagai tidak sah.

Pas pula mempunyai 18 kerusi sementara STAR, PBS dan PBRS dari Sabah masing-masing mempunyai satu kerusi.

Selain itu, terdapat 13 Ahli Parlimen bebas pada ketika ini. – MalaysiaGazette