Nurul Izzah digelar Puteri Reformasi oleh pejuang Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Keputusan Nurul Izzah Anwar untuk meletakkan semua jawatannya dalam PKR akan menghilangkan krebilitinya untuk bersuara lantang selepas ini.

Bukan sahaja mewakili parti, malah pemerhati politik berpendirian keputusan yang diambil oleh anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melepaskan semua jawatan dalam kerajaan akan menenggelamkan suaranya di peringkat nasional.

“Kita tahu Nurul Izzah pemimpin masa depan, mempunyai karisma, keterampilan yang boleh diberi peluang lebih tinggi bukan sahaja dalam konteks parti bahkan kabinet.

“Namun apabila beliau tidak lagi mempunyai platform parti dan bukan juga Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang maka dengan sendirinya dari segi kredibiliti beliau untuk bercakap tidak ada lagi, hanya menjadi pemimpin yang lantang, rasional tanpa platform yang sesuai,” kata Profesor Madya Dr Ahmad Martadha kepada MalaysiaGazette.

Walaupun pengundurannya itu akan membersihkan imej PKR daripada dakwaan berlakunya kronisme dalam parti namun dalam masa yang sama dilihat ia juga tidak lebih daripada satu kerugian.

“Dari satu segi ia bagus kerana bukan sahaja di kalangan PKR sendiri memberi tafsiran bahkan masyarakat luar melihat bahawa sebelum sendri Anwar bercakap tentang menentang kronisme tapi dalam parti berlaku.

“Suara beliau tidak akan dapat didengari ini satu kerugian kepada PKR negara secara tidak langsung,” tambah pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu lagi.

Pada 17 Disember yang lalu, Izzah melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden, Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang dan semua jawatan dalam kerajaan termasuk Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Izzah dikatakan tidak berpuas hati dengan perkembangan politik mutakhir ini, lebih lagi kemenangan pihak yang tidak disokongnya dalam pemilihan parti.

Beliau kini hanya Ahli Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette