KUALA LUMPUR- Kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan petrol secara mingguan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, mulai 1 Januari nanti, pengguna boleh menikmati harga petrol yang lebih rendah dan selari dengan penurunan harga minyak mentah dunia setiap minggu.
Bagaimanapun apabila harga minyak mentah menunjukkan trend menaik, kerajaan akan menghadkan harga petrol bersubsidi RON95 kepada RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi diesel.
“Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar yang akan dilaksanakan pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng turut menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan kerajaan telah mengenakan cukai jualan sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95 sejak November 2018.
“Jumlah kutipan cukai jualan sebanyak RM120 juta seminggu bagi produk petrol RON95 seperti yang didakwa beliau adalah palsu,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan telah menanggung subsidi petrol sebanyak RM5.82 bilion dari bulan Mei sehingga November 2018 dan jumlah keseluruhan subsidi setakat November adalah RM7.14 bilion.- MalaysiaGazette