KUALA LUMPUR – Inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim ditetapkan pada 18 Januari ini.

Perkara tersebut dinyatakan Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria selepas Mahkamah Shah Alam menetapkan tarikh tersebut.

Katanya, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan dokumen kes di Pejabat Pendaftar Mahkamah Shah Alam pada Khamis dan mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh berkenaan.

Prosiding inkues itu akan dijalankan di mahkamah koroner yang bersidang di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Muhammad Adib, salah seorang anggota bomba yang bertugas untuk memadamkan beberapa kebakaran semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman meninggal dunia pada 17 Disember lalu semasa menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Beliau cedera parah ketika bertugas dan dimasukkan ke SJMC pada 26 Disember sebelum dipindahkan ke IJN.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues tentukan sebab kematian Adib

Semalam Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  peguam negara akan mengarahkan majistret untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Muhyiddin telah dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara, Tommy Thomas, hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak. – MalaysiaGazette