Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan Parti Keadilan Rakyat yang telah diumumkan semalam.

Timbalan Presiden PKR (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelantikan yang dibuat selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

Menurut beliau, pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

Beliau mendakwa beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.

“Jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran.

“Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.

“Begitu juga pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP,” jelasnya.

Azmin berkata, beliau akan merujuk perkara itu dengan Anwar yang sedia maklum dengan pendiran beliau dan majoriti MPP yang terpilih.

“Pendirian ini telah dimaklumkan kepada YB Presiden beberapa minggu lalu dan saya menggesa YB Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif.

“Sesungguhnya, idealisme reformasi dalam Keadilan menuntut kita bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota Keadilan,” ujarnya.

Semalam, Anwar mengumumkan Rafizi Ramli dilantik sebagai Naib Presiden PKR dalam pelantikan MPP 2018-2021.

Turut dilantik bagi jawatan yang sama ialah Chang Lih Kang (Ahli Parlimen Tanjung Malim) dan Ali Biju (Ahli Parlimen Saratok). Mereka mewakili Sabah dan Sarawak.

Anwar juga mengumumkan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung PKR. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. You won the Deputy President Post. You still have PKR Grassroots Support.

    Consolidate your presence, let “The President” made his mistakes obvious by the days.

    You are indeed a torn to him right now. Anwar is another Najib in the making.

Comments are closed.