MOSCOW – Rusia akan menggunakan peluru berpandu jarak sederhana generasi baharu dari darat ke udara, S-350 Vityaz, pada tahun depan bagi menggantikan sistem peluru berpandu S-300 yang telah usang, kata Kementerian Pertahanan negara itu.

Menurut kementerian itu, tentera Rusia telah menempatkan peluru berpandu Pantsir dan S-400 di Crimea, wilayah tambahannya, selain wilayah Artik, Kaliningrad di Laut Baltik dan Khabarovsk di timur negara itu pada tahun ini.

Rusia juga telah meningkatkan kekuatan ketenteraannya di luar negara sejak kebelakangan ini dan pembabitannya dalam konfliks di Syria dan Ukraine menyaksikan hubungan dengan Barat merudum, lapor NDTV.

Dalam pertikaian mengenai sistem peluru berpandu jarak jauh, Washington mengancam untuk menarik diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 dengan mendakwa peluru berpandu baharu Rusia, Novator 9M729 (dikenali sebagai SSC-8 oleh NATO) mencabul perjanjian itu.

Perjanjian kawalan senjata itu mengharamkan kedua-dua pihak menempatkan peluru berpandu darat jarak pendek dan sederhana di Eropah.

Rusia menafikan peluru berpandu itu mecabul INF dan menuduh Amerika Syarikat berdalih untuk keluar daripada perjanjian tersebut.

Pada Rabu lalu, Presiden Vladimir Putin berkata, Rusia akan menempatkan regimen peluru berpandu nuklear hipersonik pertamanya pada 2019 dan menambah langkah tersebut bermakna negara itu kini mempunyai senjata strategik jenis baharu.

Vityaz (Knight) merupakan sistem pertahanan peluru berpandu jarak sederhana darat-udara dibangunkan oleh Almaz-Antey Air and Space Defence Corporation..

Pada Mac lalu, Kremlin berkata, ia akan memotong bajet pertahanan kurang daripada 3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar dalam tempoh 5 tahun. – Agensi