Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kiri) diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) beramah mesra dengan orang ramai pada Program Restoran Tanpa Asap Rokok di Restoran Al Nazmaju, Presint 9, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JANUARI 2018
PUTRAJAYA – PKR belum menerima sebarang notis pemakluman Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung dakwaan kononnya pendaftaran parti itu akan digantung kerana berlaku penipuan dalam pemilihannya baru-baru ini.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin mengesahkan perkara itu ketika ditanya pemberita di Kempen Pelancaran Kempen Restoran Tanpa Asap Rokok dan Tembakau di Presint 9 di sini hari ini.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi, setakat ini kepimpinan parti tidak menerima sebarang notis pemberitahuan seperti yang tular dalam media sosial.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Azman Noor Adam – adik kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman yang berkongsi berita dalam laman Facebook hari ini kononnya RoS akan menggantung parti PKR ekoran penipuan dalam pemilihan parti sekutu Pakatan Harapan (PH) itu.

“Saya tidak baca lagi artikel berhubung perkara seperti yang ditular dalam media sosial lagi pun saya tidak pasti benar atau tidak..rumours biasa..

“Tetapi apa-apa pun sebarang isu berhubung perkara itu, setiausaha agung parti (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) yang akan menjawabnya,” tegasnya.

Ahli Parlimen Ampang itu diasak lagi dengan soalan desas desus yang mengatakan pertemuan ahli PKR untuk membincangkan calon perdana menteri tetapi beliau bertegas tidak tahu langsung mengenai perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun menyeru semua pihak supaya tidak mempolemikkan isu jawatan perdana menteri melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Mari kita maju ke hadapan buat kerja masing-masing dan lihat apa yang akan berlaku dua tahun akan datang,” jelasnya.

Bila disoal mengenai khabar angin mendakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya sedang mengetuai gerakan untuk ahli-ahli parti keluar PKR, Zuraida  ringkas menjawab:”Khabar angin adalah khabar angin,” sambil tersenyum. – Malaysiagazette