KUALA LUMPUR – Syarikat produksi perfileman Hindi dan Tamil terbesar negara, Malik Streams Corporation Sdn Bhd menyasarkan kutipan filem Petta lakonan superstar India, Rajinikanth mampu mencecah RM30 juta di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer optimis kutipan jualan dapat ditingkatkan melalui tayangan filem itu di pawagam di seluruh Malaysia.
“Filem Rajinikanth terbaru ini yang akan ditayangkan di 140 pawagam dan 1,000 skrin seluruh Malaysia boleh capai sasaran jualan tiket sehingga RM30 juta,” katanya pada sidang media di Hotel Shangri-la, di sini, hari ini.
Terdahulu Abdul Malik merasmikan Majlis Pelancaran Lagu Tema bertajuk Ullala daripada filem Petta yang dibintangi superstar India, Rajinikanth.
Hadir sama pelakon wanita terkenal, Nur Fazura sebagai penampilan khas dalam pelancaran runut lagu bagi filem Petta khas untuk tayangan di Malaysia.
Filem Tamil lakonan superstar India itu akan ditayangkan di seluruh dunia secara serentak pada 10 Januari ini.
Petta merupakan filem ke-23 yang dibawa masuk oleh Malik Streams Corporation selepas filem Kabali tahun lalu.
Runut lagu filem Petta yang bertajuk Ullala ini dinyanyikan oleh dua penyanyi nasyid tempatan iaitu Azwan dan Mu’adz yang berkebolehan menguasai Bahasa Tamil dengan baik.
Abdul Malik juga berkata Petta, yang bermaksud tempat tinggal, dijadual akan ditayangkan di seluruh negara dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu.
Katanya lagi, lagu nyanyain Mu’adz dan Azwan itu akan dihantar untuk diperdengarkan kepada Rajinikanth esok. Penyanyi lagu itu di dalam filem Petta ialah Nakash Aziz dan Inno Genga.
Beliau turut berkata, runut lagu juga adalah hasil sentuhan Saran Z selaku pengarah dan jurutera bunyi manakala Yuwaji pula sebagai pengurus projek dan pelatih penyanyi dalam album Ullala tersebut. – MalaysiaGazette