Datuk Seri Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri menyindir DAP terutama Tony Pua yang dahulu kuat menghentam beliau kerana melaksanakan mekanisme apungan harga petrol, akhirnya hari ini akur dengan langkah yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sedangkan dahulu, kerajaan BN dikritik oleh Tony kerana enggan membenarkan syarikat minyak bersaing secara bebas, seolah-olah mahu melindungi keuntungan syarikat minyak dan gas dengan mengorbankan kepentingan rakyat.

Cuma bezanya, pada hari ini kerajaan telah menaikkan margin keuntungan stesen minyak.

Dalam kenyataan semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju marhin pengusaha stesen minyak disenaikkan kepada 15 sen seliter bagi produk RON95 dan RON97 serta 10 sen bagi diesel.

Kenaikan itu merupakan tambahan sebanyak 2.81 sen bagi petrol dan 3.00 sen bagi diesel berbanding kadar semasa, masing-masing 12.19 sen seliter bagi petrol dan 7.00 sen bagi diesel.

“Bukan main seronok DAP hari-hari ‘hantam” setiap keputusan kerajaan BN dahulu untuk menghasut rakyat dan menanam kebencian. Kini, hampir semua yang mereka buat sama dengan kerajaan BN.

“Tentu Tony tahu bahawa bermula hari ini, harga runcit petrol juga ditetapkan oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan juga akan di umumkan setiap minggu,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Malah, beliau mempersoalkan adakah langkah meningkatkan margin pengusaha-pengusaha stesen minyak juga menjaga kepentingan rakyat.

“Tentu Tony juga mengambil tahu bahawa kerajaan telah menaikkan margin keuntungan stesen minyak semalam – satu langkah yang kerajaan BN masa saya tidak ambil,” katanya sambil tidak menolak Pegawai Khas Guan Eng itu bukan setakat tahu, mungkin juga antara mereka yang menyumbang kepada keputusan tersebut.

“Kecuali hari pengumuman harga ditukar dari hari Rabu kepada hari Jumaat. Mungkin hari Jumaat dipilih dan bukan Rabu kerana DAP prihatin rakyat?

“Mungkin hari Jumaat dipilih kerana lebih senang untuk rakyat beratur pada tengah malam Jumaat memandangkan lebih ramai orang bercuti pada hari Sabtu?,” kata Najib. – MalaysiaGazette