Kumpulan pendatang haram di Eropah. foto Agensi

LONDON – Jumlah pendatang yang ditahan untuk memasuki Kesatuan Eropah secara haram telah menjunam ke paras paling rendah dalam tempoh lima tahun.

Diangagrkan sebanyak 150,000 pendatang haram didaftarkan oleh Frontex tahun lalu. Ia merupakan paras terendah sejak tahun 2013.

Penurunan paling ketara membabitkan pendatang haram yang merentasi Mediterranean ke Itali selepas kerajaan negara itu enggan membenarkan kapal penyelamat memasuki perairan.

Namun, kemasukan pendatang haram ke Sepanyol meningkat dua kali ganda untuk tahun kedua.

Jumlah pendatang asing yang dikesan pada tahun 2018 adalah 92 peratus lebih rendah berbanding pada tahun 2015 ketika krisis pendatang berada pada tahap kemuncak.

Angka juga menujukkan penurunan sebanyak 25 peratus berbanding tahun 2017, dengan kejatuhan terbesar di sepanjang laluan tengah Mediterranean dari utara Afrika ke selatan Itali.

Jumlah pendatang haram yang mengggunakan perairan juga turun sebanyak 80 peratus kepada lebih kurang 23,000, kata Frontex.

Ia menambah jumlah pendatang haram yang berlepas dari Libya menurun sebanyak 87 peratus dalam satu tahun dan dari Algeria jatuh hampir separuh.

Frontex berkata, laluan barat Mediterranean kini merupakan laluan Eropah paling aktif.

Bilangan pendatang haram di Sepanyol, kebanyakannya dari Maghribi dua kali ganda kepada 57,000 pada tahun 2018. – MalaysiaGazette