Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah memutuskan untuk menamatkan kontrak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi perbincangan sekian lama sejak Pilihan Raya Umum 2018.
Peta laluan ECRL yang dikatakan melibatkan kos berpuluh bilion ringgit.

BENTONG – Para pekerja projek Landasan Kereta Api Rel Timur (ECRL) yang kehilangan mata pencarian sebelum ini telah dipanggil semula untuk bekerja, bayangan positif bahawa projek yang tergantung itu akan disambung semula.

Perkembangan terkini itu juga selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa ECRL mungkin akan diteruskan, tetapi dengan skala lebih kecil.

China Press melaporkan, China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang mengendalikan pembinaan ECRL telah memanggil pekerja beberapa unit di cawangan Mentakab  untuk kembali ke tugas masing-masing sejak dua minggu lalu.

Menurut sumber, kira-kira 50 peratus pekerja telah dipanggil dengan 40 peratus jumlah tenaga asal sudah memulakan tugas.

“Pejabat pusat telah menyampaikan mesej mahu kami bersedia untuk menyambung semua tugas kerana kerja pembinaan akan dimulakan semula pada bila-bila masa sahaja,” kata sumber itu.

Katanya lagi, pekerja di Mentakab sangat sibuk pada masa ini kerana melakukan persediaan untuk menyambung semula projek ECRL.

ARTIKEL BERKAITAN: Projek ECRL mungkin diteruskan tetapi dalam skala kecil- PM

Bahagian yang telah diaktifkan semula termasuk unit keselamatan, kewangan, sumber manusia, pentadiran dan pengurusan projek.

Tugas-tugas yang dihentikan di tapak pembinaan bagaimanapun belum diaktifkan semula.

Tinjauan China Press mendapati pejabat CCCC di Mentakab dan Bentong yang lengang pada bulan lalu telah berubah apabila dua premis itu kini dipenuhi kenderaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Status ECRL bergantung keputusan rundingan pihak swasta terlibat

Petanda ‘aktif semula’ di pejabat CCCC Bentong dan Mentakab bagaimanapun tidak kelihatan di Kuantan, di mana pejabat CCCC hanya dihadiri pekerja warganegara Malaysia sahaja seperti sebelumnya.

Selain itu, tinjauan juga mendapati kerja pembinaan di tapak binaan ECRL di Lentang iaitu di kilometer 68.3 Kuala Lumpur menuju Karak dan di Kuantan belum dimulakan. – MalaysiaGazette

ECRL belum dibatal, rakyat China boleh beli unit Forest City