Azmin
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan beliau bercuti dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Maghribi baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, beliau terserempak dengan Hishammuddin ketika melakukan lawatan rasmi ke negara itu.

“Saya tidak bercuti dengan Hishammuddin… (saya) terserempak dengan beliau di Morocco (Maghribi). Perjumpaan (secara tidak sengaja) itu tidak jadi isu pun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan ‘Simfoni’ Rumah Selangorku @ EcoMajestic di Apartment Simfoni, Eco Majestic di Semenyih, dekat sini, hari ini.

Mohamed Azmin diminta mengulas gambar beliau bersama Hishammuddin yang dilihat begitu mesra ketika sama-sama ‘bercuti’ di Maghribi baru-baru ini.

Gambar itu yang tular di media sosial menimbulkan pelbagai persepsi parti politik sama ada UMNO mahupun Pakatan harapan (PH) berhubung ‘kemesraan’ itu, yang dikaitkan dengan cubaan PH untuk membeli Ahli Parlimen dari UMNO.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau mengenali dan bersahabat dengan Hishammuddin sejak puluhan tahun.

Malah katanya, beliau menjadi tetamu kehormat pada majlis perkahwinan anak sulung Hishammuddin yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota tidak lama dulu.

“Jangan ingat bila kita berjumpa, oh! itu mesti ada perbincangan politik, tak ada perbincangan politik.

“Tapi kalau untuk kebaikan negara kita kena baik dengan semua orang,” katanya.

Ditanya mengenai desas desus ada usaha pihak tertentu cuba menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak tahu menahu perkembangan itu.

Katanya, pada awal penubuhan PH sudah ada persefahaman untuk mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan selepas itu akan diteruskan oleh Anwar.

Jelas beliau, persefahaman itu masih kekal sehingga hari ini, dan menasihatkan pihak berkenaan agar hentikan cakap-cakap itu.

“Hentikan caka-cakap ini, kerana tumpuan kerajaan PH ialah hendak membangunkan negara, hendak memulihkan masalah kewangan negara dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette