maszlee
Maszlee Malik

KLUANG – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini mengesahkan tidak lagi memegang jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), yang sepatutnya berakhir pada tahun 2021.

Menurut beliau, surat peletakan jawatan telah pun ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi universiti berkenaan untuk pelepasan jawatan yang disandangnya bermula September tahun lepas.

“Saya kini bukan lagi presiden UIA, surat peletakan jawatan telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman daripada UIA, termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.

“Peletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kedudukannya di UIA, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang Renggam yang turut dihadiri oleh pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.

Jelas Maszlee lagi, beliau turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya itu.

Beliau turut enggan mengulas tarikh sah peletakan jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu yang bakal menggantikannya, iaitu bekas naib canselor UIA, Datuk Dr Mohd Daud Bakar. – Bernama