Kenderaan yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja bersidang di Istana Negara hari ini dipercayai bagi membincangkan pengganti Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa semalam.

Suasana di perkarangan Istana Negara sibuk dengan kehadiran raja-raja dari setiap negeri sejak pagi tadi.

Antara yang kelihatan Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir

MGF07012019_ISTANA NEGARA_06
Yang di-Pertua Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2019

Juga Sultan Terangganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

MGF07012019_ISTANA NEGARA_05
Kenderaan yang membawa Sultan Terangganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2019

Turut berangkat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan,  Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni al-Marhum Sultan Badlishah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

MGF07012019_ISTANA NEGARA_04
Kenderaan yang membawa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas perletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 JANUARI 2019

Sultan Muhammad V yang dilantik Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2016 meletakkan jawatan semalam selepas tiga tahun berkhidmat.

Perlembagaan Malaysia menetapkan sistem penggiliran bagi jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Jika Majlis Raja-raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang kini dinaungi oleh Sultan Ibrahim Iskandar.

Spekulasi mengenai kedudukan baginda mulai tular apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Majlis Raja-raja bermesyuarat selepas Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, menamatkan tugas baginda pada 31 Dis lepas.

Pada 24 Nov, media luar negara melapor dan menyiarkan gambar perkahwinan Sultan Muhammad V di luar negara. Bagaimanapun, tiada pengumuman rasmi daripada istana mengenai perkara itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara itu pada 30 Nov, menjelaskan beliau tidak menerima sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan perkahwinan itu.

Pada Jumaat, Dr Mahathir yang ditanya mengenai dakwaan kononnya Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas baru-baru ini, berkata beliau tidak menerima sebarang makluman atau surat rasmi mengenai dakwaan kononnya Sultan Muhammad V akan melepaskan jawatannya. – MalaysiaGazette