LANGKAWI – Memasuki edisi kali ke- 17, Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) yang membuka tirai hari ini menyaksikan sebanyak 35 penyertaan daripada pelbagai negara bagi merebut gelaran juara.
Menurut Pengurus Besar RLYC, Tayfun Koksal, kesemua 35 penyertaan itu bagi merebut tujuh kelas kejohanan yang dipertandingkan kali ini.
“Regatta 2019 menyaksikan kemunculan pelayar veteran dari lapan negara iaitu Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Rusia, Singapura, Malaysia, Jepun dan Thailand,” katanya dalam sidang media sempena RLIR 2019 di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) hari ini.
Ketujuh-tujuh kelas berkenaan adalah racing yang memburu trofi Cabaran Perdana Menteri, IRC 1, IRC 2, Sportsboat, Cruising Club, Multihul, dan Sail White.
Piala untuk kelas utama perlumbaan bakal disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Patron RLYC pada malam kemuncak kejuaraan pada 12 Januari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perlumbaan Regatta Diraja Antarabangsa Langkawi, Simon James berkata, cuaca baik dijangka akan melicinkan perjalanan perlumbaan ini setelah ribut Tropika Pabut berakhir minggu lalu.
“Buat masa ini jangkaan akan baik di waktu pagi, dan tiada angin pada waktu tengahari, malah akan kembali berangin di waktu petang.
“Minggu lalu ribut itu bagaikan menarik semua angin disini. Saya rasa jangkaan cuaca akan lebih baik, tiada isu besar disini,” katanya dalam sidang media yang sama.
Sebelum itu, kawasan utara di Kedah terutamanya di Pulau Langkawi dijangka akan menerima tempias daripada ribut berkenaan.
Ia berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang menjangkakan ribut itu melanda pulau itu bermula 2 petang. -MalaysiaGazette