Restoran di Seksyen 25 di sini yang tular sejak Rabu lepas berikutan seorang pekerjanya ditampar kerana menegur pelanggan merokok, didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah walaupun sudah beroperasi kira-kira 10 tahun.

SHAH ALAM – Sebuah restoran di Seksyen 25 di sini yang tular sejak Rabu lepas berikutan seorang pekerjanya ditampar kerana menegur pelanggan merokok, didapati bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah walaupun sudah beroperasi kira-kira 10 tahun.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Salwana Ahmad Dahlan berkata perkara itu terbongkar selepas pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melakukan pemeriksaan mengejut di premis berkenaan semalam.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan selepas aduan awam yang tular di laman sosial mendakwa pengusaha premis bukan Islam dan cuba mengelirukan orang Islam dengan meletakkan ayat al-Quran di dalam premis serta tulisan jawi di papan tanda perniagaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati perniagaan berkenaan merupakan pemilikan kongsi antara dua individu, seorang beragama Islam dan seorang bukan Islam.

“Pemeriksaan juga mendapati bekalan bahan mentah seperti daging kambing diperoleh daripada pembekal yang tidak mempunyai SPHM selain hanya dua pekerjanya beragama Islam manakala yang lain bukan beragama Islam dan menjual barangan makanan yang diragui status halalnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Salwana, restoran berkenaan juga didapati tidak menjaga kebersihan di mana bahan mentah diletakkan di atas lantai yang kotor selain pemeriksaan turut mendapati terdapat bungkusan kain kuning dipercayai tangkal atau azimat diletakkan bersebelahan dengan ayat al-Quran.

Sehubungan itu, menurut Salwana, JAIS telah mengambil tindakan ke atas pemilik restoran berkenaan di bawah Seksyen 10 (A) Enakman Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dan pemilik telah diarahkan untuk hadir ke pejabat JAIS untuk diambil keterangan.

“Pemilik turut diarahkan untuk tidak lagi menggantung ayat al-Quran di restoran berkenaan dan menutup tulisan jawi di papan tanda restoran, jika gagal berbuat demikian tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 boleh dikenakan terhadap restoran itu,” katanya.

Status halal restoran berkenaan mula diragui selepas satu laporan menunjukkan restoran itu dimiliki oleh orang bukan Islam tetapi dilihat menggunakan tulisan jawi di papan tandanya dan menggantung ayat al-Quran di kaunter bayaran.

Dalam pada itu, Salwana menasihati orang Islam di Selangor supaya memilih restoran dan kedai makan yang mempunyai SPHM yang sah.

“Pengguna boleh menyemak status halal restoran di laman web rasmi JAIS di www.jais.gov.com dan pengguna juga boleh membuat aduan berhubung status halal dengan menghubungi JAIS di talian 03-5514 3760 / 3486.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan, T. Krisnasamy, 61, ketika dihubungi akur dengan arahan dikeluarkan oleh JAIS dan menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama restoran tersebut diserbu JAIS selepas 10 tahun mengusahakannya.

Katanya, beliau telah menurunkan semua ayat berkaitan al-Quran semalam dan memastikan tahap kebersihan sentiasa dijaga.

Krisnasamy turut tidak menolak kemungkinan akan menjual perniagaan restoran tersebut kepada orang lain.

Menurutnya, beliau telah ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia hari ini untuk mengeluarkan nama rakannya berusia 40-an yang merupakan pemilik bersama dan memegang 25 peratus syer syarikat.

— BERNAMA