Maher Zain

KUALA LUMPUR — Selepas kali terakhir kemunculannya di Malaysia lima tahun lepas, penyanyi-penggubah lagu warga Sweden berketurunan Lubnan, Maher Zain akan kembali semula ke negara ini pada Mac ini untuk mengadakan konsert jelajahnya.

Kosert ‘Maher Zain Malaysia Tour 2019’ bakal bermula pada 9 Mac ini di  Axiata Arena di Kuala Lumpur, sebelum diteruskan ke Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah, sepanjang bulan itu.

“Saya tahu ramai peminat yang menanti sejak sekian lama untuk saya datang ke sini dan mengadakan konsert jelajah… kami akhirnya berada di sini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini hari ini.

Maher berkata peminatnya di Malaysia seringkali memberi sokongan padu kepada kerjayanya dan beliau berharap agar konsert jelajahnya di negara ini berjaya.

“Semasa saya menghasilkan album pertama pada 2009, saya datang ke sini pada 2010 dan saya rasa ketika itulah nama saya mula menjadi sebutan ramai. Alhamdulillah… rakyat Malaysia sangat mesra dan penyayang,” kata penyanyi itu yang popular dengan lagu ‘ InsyaAllah’ dan ‘For The Rest Of My Life’.

Semasa di berada di negara ini, Maher ingin menikmati sate kerana beliau begitu menggemari kuah kacang.

Maher, yang menghasilkan single terkini, Huwa AlQuran, tujuh bulan lepas, berkata konsert jelajah itu akan menampilkan pelbagai lagu popularnya dan beliau berharap peminat akan terhibur dengan persembahannya.

“Sewaktu saya berdiri di atas pentas, saya dapat melihat pelbagai emosi peminat, ada yang tersenyum, ada yang menitiskan air mata dan ada yang bagaikan sedang berfikir… berdoa. Ya, saya sememangnya menanti-nantikan waktu itu,” katanya.

Maher turut merakamkan beberapa lagu popularnya dalam bahasa Melayu pada  tahun 2011, iaitu InsyaAllah dan For The Rest Of My Life (Sepanjang Hidup).

Ditanya tentang kemungkinan menghasilkan sebuah album penuh lagu dalam bahasa Melayu, penyanyi berusia 37 tahun itu berkata beliau belum ada sebarang perancangan, namun akan menjadikannya suatu cabaran.

“Saya tidak bertutur dalam bahasa Melayu dan hanya menyanyikan beberapa lagu sahaja dalam bahasa Melayu, semata-mata kerana InsyaAllah dan For The Rest Of My Life sangat popular di sini dan ramai yang meminta saya merakamkannya dalam bahasa Melayu.

“Sebenarnya saya juga menyanyi dalam bahasa lain, seperti Turki, Perancis, Urdu dan beberapa bahasa lagi,” katanya.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan