KUALA LUMPUR – Wall Street Journal (WSJ) sekali lagi membuat dakwaan kerajaan China pada 2016 pernah membuat tawaran bagi membantu krisis kewangan yang dihadapi 1MDB dengan mendapat projek mega ketika negara diterajui oleh Datuk Seri Najib Razak.
WSJ memetik minit mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini dengan menyatakan China juga menawarkan untuk memasang peranti pengintip di rumah dan pejabat wartawan WSJ di Hong Kong yang ketika itu membuat liputan 1MDB bagi mengenal pasti sumber maklumat mereka.
Dalam status terbaru yang dibuat naik oleh Najib malam ini di laman sosial Facebook – beliau menjawab secara ‘panjang lebar’ berhubung dakwaan tersebut.
Antaranya, tuduhan berhubung rundingan sulit membenarkan kapal tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia dan beliau menegaskan;
“Malaysia ialah negara berkecuali dan kapal tentera dari mana-mana negara berhak dan sering berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia. Ini ialah satu polisi yang sudah dilaksanakan selama berpuluh tahun.
“Ini termasuk kapal-kapal perang dari Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang pernah berlabuh di Malaysia. Sebagai contoh, kapal perang USS America berlabuh di Sepanggar, Sabah pada bulan Ogos 2017.
“Pada 2004, Kapal USS Blue Ridge turut berlabuh di Pelabuhan Klang,” katanya.
Bagi tuduhan kedua pula tentang China menawarkan untuk mengintip rumah dan pejabat wartawan yang menyiasat 1MDB di Hong Kong, Najib berkata, ia tidak pernah berlaku.
Beliau turut menafikan China pernah bertindak sebagai ‘penyelamat’ dalam krisis kewangan 1MDB.
“Seperti dilaporkan oleh WSJ dan diketahui ramai, ini juga tidak pernah berlaku. Malaysia terus berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020,” jelasnya.
Najib juga menafikan dakwaan China menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan AS dan negara-negara lain menggugurkan siasatan terhadap 1MDB.
Dalam pada itu, Najib berkata, sebarang projek saluran paip gas telah dianugerahkan oleh Malaysia dengan harga atas nilai pasaran malah tidak pernah ada tuduhan projek saluran paip gas adalah luar biasa tinggi harganya.
“Projek saluran gas Trans-Sabah Pipeline yang dianugerahkan kepada syarikat China pada tahun 2016 yang panjangnya 662km bernilai RM4.06 bilion.
“Sebagai perbandingan, projek Sabah–Sarawak Gas Pipeline yang panjangnya 500km yang dianugerah kepada konsortium dari India pada tahun 2008 telah disiapkan dengan kos RM4.6 bilion,” katanya.
Najib juga menafikan projek ECRL yang dianugerahkan kepada syarikat China pada harga RM55 bilion adalah luar biasa tinggi sebaliknya ianya telah dicadangkan oleh East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) sejak tahun 2007.
“Pada tahun 2012 dan 2013, media tempatan melaporkan kos untuk projek ECRL sudah dianggar antara RM50 bilion kepada RM70 bilion.
“Walaupun Pakatan Harapan (PH) sering menuduh kos projek ECRL ialah di atas harga pasaran dan ada yang mendakwa harga ECRL sebenar hanyalah RM30 bilion, mereka tidak pernah memberi sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.
“Saya pernah bertanya PH berulang kali untuk mendedahkan mana-mana laporan yang menyebut kos ECRL hanya RM30 bilion dan juga untuk mengeluarkan laporan feasibiliti ECRL yang menunjukkan projek ECRL untung untuk negara namun tidak pernah sekalipun mereka menjawab,” tegasnya.
Tambah beliau, angka RM30 bilion itu adalah kajian dibuat pada tahun 2009 dan hanya untuk jarak 545 kilometer (km) sahaja sebelum dilanjutkan kepada 620 km.
“Sebagai bandingan, apabila kerajaan PH tegas untuk membuat projek mega seperti projek lebuhraya Pan-Island Link 1 (PIL-1) sepanjang 19.5 km yang dulunya dianggarkan menelan kos RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km).
“Kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km) walaupun penduduk-penduduk Pulau Pinang membantah projek ini kerana ia melibatkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan,” katanya lagi.
Najib juga memberi ingatan selepas projek-projek ECRL dan saluran paip dianugerah pada akhir tahun 2016, eksport sawit dan getah kepada negara China telah melonjak naik dengan tinggi.
Jelas beliau, pada tahun 2017, China naik menjadi negara pengimport minyak sawit kedua terbesar dari Malaysia berbanding tempat keempat untuk tahun sebelumnya.
“Untuk tahun 2017 juga, negara China menjadi negara pengimport getah tertinggi dari Malaysia dan jauh berbeza juga dari tempat ke-4 terbesar untuk tahun 2016.
“Pada pendapat saya, Malaysia perlu berhati-hati untuk mengelakkan negara terlibat di dalam hal-ehwal geopolitik antara dua kuasa besar hanya berdasarkan laporan dari media dan jangan mudah untuk menuduh negara lain kerana ianya akan merugikan untuk negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/08/china-tebus-1mdb-kerajaan-jamin-siasatan-telus/