Ramli (kanan) pernah semasa tugas berpangkat Asisten Komisioner yang juga Orang Asli dalam suku Semai dan berasal dari Pos Mensoon, Cameron Highlands.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) melalui UMNO dijangka membuat kejutan dengan meletakan calon anak tempatan dalam kalangan masyarakat Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tidak lama lagi.

MalaysiaGazette difahamkan, calon tersebut iaitu bekas pegawai polis, Ramli Mohd. Noor yang pernah semasa tugas berpangkat Asisten Komisioner yang juga Orang Asli dalam suku Semai dan berasal dari Pos Mensoon, Cameron Highlands.

Ramli merupakan Orang Asli yang pertama pernah menjadi pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pernah menjadi Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pulau Pinang.

Beliau telahh berkhidmat lebih 30 tahun dengan PDRM.

Sebelum ini, wujud sedikit ‘perselisihan’ kononnya UMNO dan MIC sedang berkonflik antara satu sama lain berhubung soal calon dan ada juga mendakwa pemilihan itu sebagai strategi BN meletakkan calon boleh menang.

Menariknya, sekiranya benar Ramli menjadi calon, ia berita gembira kepada Orang Asli di Cameron Highlands.

BN dijangka akan membuat pengumuman Khamis ini berhubung calon PRK Parlimen Cameron Highlands di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) sudah menamakan calon mereka, M. Manogaran dari DAP yang juga pernah kalah dua kali bertanding di Cameron Highlands manakala satu lagi calon bebas dari MyPPP, Tan Sri M. Kayveas juga sudah menyatakan hasrat bertanding.

Bagaimanapun, menurut sumber, ada suara-suara dalam PH yang tidak bersetuju dengan pemilihan Manogaran kerana beliau sudah tewas dalam PRU-14 dan kemungkinan akan tewas lagi kali ini.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran telah memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C. Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh dalam pilihan raya berkenaan terbatal setelah mendapati terdapat unsur rasuah di pihak beliau untuk membeli undi.

Pada 28 Disember lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Sivarraajh yang merupakan Naib Presiden MIC tidak layak bertanding dalam PRK akan datang.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi parlimen itu dengan memperoleh sebanyak 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

Hari pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands ditetapkan pada 26 Januari ini dengan hari penamaan calon pada 12 Januari dan mengundi awal pula pada 22 Januari ini. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/07/lim-kit-siang-dakwa-umno-bakal-tanding-cameron-highlands/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast