Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, partinya mempunyai calon pilihan, tetapi belum memutuskan untuk menghantarnya untuk bertanding.

KUALA LUMPUR – Gerakan mempertimbangkan untuk meletak calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, partinya mempunyai calon pilihan, tetapi belum memutuskan untuk menghantarnya untuk bertanding.

Dominic berkata, beliau telah bertemu dengan pemimpin Gerakan di Cameron Highlands yang mahu bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) itu bertanding.

Katanya, selari dengan gesaan itu, Gerakan Pahang telah diamanahkan untuk meneliti sama ada jentera parti sudah bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Pemimpin pusat seterusnya akan membuat keputusan dalam minggu ini sama ada mahu bertanding di Cameron Highlands atau sebaliknya,” kata Dominic kepada China Press.

Gerakan telah keluar dari BN pada Jun lalu dan kini ia merupakan parti yang bebas.

Sebagai rekod, Ho Yip Kap pernah menang kerusi Dewan Undangan Negeri Tanah Rata di Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Keahlian Yip Kap dalam MCA dipecat kerana bertanding sebagai calon bebas dan beliau kemudian menyertai Gerakan.

Yip Kap, seorang bekas pengetua, bagaimanapun kecundang kepada calon DAP, Leong Ngeh Ngah di Tanah Rata dalam Pilihan Raya 2013

DAP berjaya mempertahankan Tanah Rata melalui Chiong Yoke Kong pada 2018, walaupun Pakatan Harapan gagal merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: M. Manogran calon PH di PRK Cameron Highlands

Orang Asli calon BN PRK Cameron Highlands?