KUALA LUMPUR – Lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem ‘Petta’ lakonan pelakon terkenal Kollywood, Rajinikanth kini dinyanyikan semula oleh dua penyanyi nasyid tempatan.

Kedua-dua penyanyi yang tidak asing itu, Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim didapati fasih dengan penggunaan tutur kata lirik lagu tersebut yang kini sudah menjadi ikutan para peminat superstar berkenaan.

Konsep berkenaan merupakan ilham Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation -syarikat pemegang hak pengedaran filem itu untuk seluruh dunia kecuali India- Datuk Abdul Malik Dasthigeer itu juga mendapat pujian daripada Rajinikanth sendiri.

Abdul Malik berkata, pujian Rajinikanth selepas beliau sendiri telah mempersembahkan klip video persembahan Mu’adz dan Azwan kepada pelakon itu baru-baru ini.

“Beliau (Rajinikanth) telah membalas mesej saya dengan begitu positif sekali dan jelas sekali beliau sangat gembira dengan usaha dilakukan oleh kita dalam mempromosi filem terbaharunya, Petta yang mula ditayangkan seluruh dunia mulai esok sempena pesta Ponggal ini.

“Sudah pasti, kita juga teruja dan gembira apabila sentiasa mendapat sokongan daripada Rajinikanth apatah lagi Malaysia sentiasa dekat di hati beliau. 

“Kita juga akan gunakan klip video nyanyian Mu’adz dan Azwan bagi mempromosi filem Petta di negara-negara Asia Tenggara kelak,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

​​​​​​​Penyanyi sebenar lagu Ullala dalam filem Petta ialah Nakash Aziz dan Inno Genga serta mendapat gubahan muzik oleh komposer muzik muda terkenal India, Anirudh Ravichander.

Kedua-dua penyanyi nasyid itu dilatih oleh komposer dan penulis lirik serta skrip popular tanah air, Kavilnayagan Yuwaji sementara Saran Z bertindak selaku pengarah bagi projek lagu yang sama.

Mu’adz dan Azwan pernah berganding bahu menyanyikan lagu Tamil tempatan bertajuk ‘Azhagu’ pada tahun 2014 menerusi kumpulan SALAAM.​​​​​​​

​​​​Mu’adz adalah penyanyi solo nasyid yang pernah menerbitkan album ‘Rindukan Cahaya’ pada 2013, manakala Azwan pula adalah ahli kumpulan nasyid ‘Fareast’ dan sudah menghasilkan lapan album setakat ini.

Petta1

Filem Petta yang bermaksud  tempat tinggal, dijadual akan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh negara dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu.

Ada juga khabar angin mengatakan ia merupakan filem terakhir oleh Raja Kollywood itu sebelum terjun dalam arena politik sepenuh masa di India.

Petta memaparkan kerjasama pertama Rajinikanth dengan pengarah muda, Karthik Subbaraj dengan pelakon lain termasuk pelakon Bollywood Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha.

Abdul Malik pernah mencipta fenomena suluruh dunia khasnya Kollywood menerusi filem ‘Kabali’ pada tahun 2016 di mana beliau berjaya memujuk bintang filem Tamil itu untuk tinggal di Malaysia selama lebih daripada 50 hari untuk menyiapkan 90 peratus daripada rakaman filem tersebut.

Tayangan filem ‘Kabali’ mengutip  sejumlah RM13 juta di seluruh negara ketika itu. -MalaysiaGazette

Petta akan ditayangkan di 140 pawagam seluruh Malaysia