KUALA LUMPUR – Pas yakin Barisan Nasional (BN) boleh menang dan mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 26 Januari ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas Malaysia, Datuk Takiyuddin Hassan, partinya akan mengerahkan jentera berkempen membantu calon BN, Ramli Mohd Nor mulai hari penamaan calon nanti.

“Kita yakin calon BN boleh menang. Dia (Ramli) Orang Asli, boleh tarik undi. Pas akan kerah jentera turun berkempen.

“Kita tidak ada masalah sebab kita ada cawangan di Parlimen ini dan juga ada pengalaman dalam pilihan raya sebelum ini,” katanya ketika ditemui wartawan selepas majlis Pengumuman Calon BN di sebuah hotel di sini, hari ini.

Jelas Takiyuddin, parti akan mengatur jadual untuk menurunkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berceramah.

Mengenai pembangunan di Cameron Highlands, beliau berkata, BN masih kerajaan di Pahang dan tentunya dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan itu.

Beliau turut menyatakan, pembangkang perlu kuat untuk menjadi semak dan imbang dengan kerajaan Pakatan harapan (PH).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan mengucapkan terima kasih kepada Pas atas semangat kerjasama yang ditunjukkan.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi BN berkata, Pas telah memberi kerjasama yang baik kepada BN dengan tidak meletakkan calon bertanding pada PRK Cameron Highlands.

“Sudah tentu persefahaman dan kerjasama ini suatu yang ditakuti oleh PH. Sebab itu bermacam-macam fitnah ditaburkan mereka. Apapun, jangan risau pasal fitnah itu,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. PAS perlu bersekongkol dgn UMNO utk meraih undi Melayu yg berfikiran tegar.

    DAP Akan meraih 90% undi Cina sebanyak 10,000 +, undi kaum India sebanyak 6,000+.

    PH Akan memperolehi 30% undi Melayu yg berjumlah 12,000 +.

    Tanpa undi Orang Asli, PH menang. Yg Akan menjadi penentu, Undi Kaum Asli.

    Di sini BN bijak merancang stratejik mereka.

    PH hanya perlu menggunakan JHEOA dgn bijak utk “neutralized” Calon BN.

    Calon Individual Orang Asli BN vs Collective Representation of JHEOA by PH.

Comments are closed.