Spekulasi pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai presiden baharu universiti berkenaan bagi menggantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, masih menjadi tanda tanya.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kelapan akan diumumkan selepas beberapa cadangan nama mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

UIAM dalam kenyataan berkata, cadangan nama telah dikemukakan kepada Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan universiti berkenaan.

“Pihak Kerajaan Malaysia telah mengemukakan cadangan nama Presiden baharu UIAM kepada Ketua Perlembagaan UIAM, DYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustai’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah untuk mendapat perkenan dari Tuanku.

Ia selaras dengan peruntukan 25(1A) Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Pindaan 2018),” katanya.

Cadangan pelantikan Presiden UIAM yang baharu dibuat selepas Dr Maszlee Malik, yang juga Menteri Pendidikan melepaskan jawatan tersebut.

September lalu, Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Sultan Ahmad Shah.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai tahun lalu.

Namun, pelantikan berkenaan mencetuskan kontroversi apabila beliau mendapat bantahan dan kritikan ramai yang mempersoalkan kelayakan beliau yang kini memegang portfolio sebagai Menteri Kabinet. – MalaysiaGazette