KUALA LUMPUR – Pelumba berbasikal trek meningkat naik, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, meraih pingat perak dalam acara keirin dalam Kejohanan Trek Asia ke-39 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Sementara pemenang pingat gangsa acara yang sama dalam temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Mohd Azizulhasni Awang, menamatkan saingan di tempat kelima.

Pingat emas kategori elit lelaki itu dimenangi pelumba Jepun, Yuta Wakimoto, manakala rakan senegaranya, Tomoyuki Kawabata, meraih gangsa.​​​​​​​

Dalam pada itu, dua wakil negara, Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohammad Fariz Haikal Mohd Kadir, terlepas peluang untuk meraih pingat dalam acara keirin Kejohanan Trek Remaja Asia ke-26 yang berlangsung serentak di venue yang sama.

Muhammad Ridwan dan Mohammad Fariz Haikal masing-masing menamatkan saingan di tempat keempat dan kelima.​​​​​​​

Pingat emas dimenangi pelumba dari India, Esow Esow, dan diikuti Temirkhan Siazbekov (Kazakhstan) dan Duan Cheng En (Taiwan) untuk pingat perak dan gangsa. – Bernama

Tinggalkan Jawapan