Aaron Ramsey. Foto Daily Star.

LONODN – Juventus bakal menjadi pasukan pilihan untuk mendapatkan Aaron Ramsey apabila kontrak pemain tersebut bersama Arsenal tamat pada penghujung musim ini.

Namun pemain tersebut masih belum memberi sebarang kata putus mengenai masa depannya dengan beberapa tawaran lain dari beberapa kelab utama Eropah turut berada di dalam senarai pertimbangan.

Menurut BBC, Ramsey boleh menjadi pemain British yang menerima bayaran tertinggi di dalam bola sepak disebabkan mana-mana kelab yang ingin mendapatkannya tidak perlu membayar yuran perpindahan.

Walaupun terdapat perbincangan awal di antara Ramsey dan pihak di Nou Camp, kemungkinan tersebut seperti tidak akan berlaku selepas tiada perbincangan susulan membabitkan kedua-dua pihak.

Tawaran daripada Paris Saint-Germain (PSG) turut mengujakan namun Ramsey turut dikatakan turut menarik minat Real Madrid, Bayern Munich dan juga Inter Milan yang mengikuti rapat perkembangan pemain tersebut menjelang hujung musim ini.

Malah rakan sepasukan Ramsey di Wales, Gareth Bale dilaporkan telah memujuknya agar memilih untuk beraksi di La Liga pada musim hadapan.

Jika Ramsey memilih untuk terus kekal di England untuk terus bersaing di Liga Perdana Inggeris (EPL), ia turut tidak akan menjadi masalah untuk pemain ini.

Setakat ini Liverpool dikatakan menjadi pilihan Ramsey tatkala kelan-kelab utama lain seperti Manchester United, Manchester City, atau Chelsea turut mempunyai keupayaan untuk memenuhi tuntutan gaji pemain tersebut. – MalaysiaGazette