Foto Facebook Syukor Khamis - Kampong Boy

KUALA LUMPUR – Siapa sangka anak kampung yang selama ini membantu menjaga kerbau peliharaan bapanya kini menjadi popular dan sebutan netizen di laman sosial.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin bernama Kohd. Syukur Khamis menjadi model paling unik untuk diabadikan oleh lensa kamera peminat fotografi dari pelbagai negara.

Sesuai dengan wajahnya yang polos sebagai anak kampung, kebolehannya dapat menjinakkan kerbau milik ayahnya yang lebih senang dengan panggilan Pok Khamis telah memberi inspirasi kepada beberapa jurufoto dari dalam dan luar negara untuk merakam beberapa aksi menarik Syukur  dan kerbau-kerbaunya.

Apa yang membanggakan rakaman fotonya ketika usianya 12 tahun ketika itu telah berjaya mendapat pengiktirafan dalam SENA International Photography Award 2018.

Sebelum ini Syukur pernah menghiasi kulit depan Majalah Plush (Times), National Geographic, Nikon Annual Photo Award 2017 Best Photographic For The Year 2017  dan Asian Geographic `Sharing Emotion’.

49688669_2555508541131536_266202858985095168_n
Foto Facebook Syukur Khamis – Kampong Boy

Malah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut menzahirkan perasaan kagum terhadap gambar Syukur bermain dan bermesra dengan kerbau yang menjadi juara peringkat Asia selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.

Menurut Zulkifli, beliau terpana melihat gambar tersebut yang menunjukkan hubungan akrab seorang remaja dengan puluhan kerbau di sawah.

“Gambar yang bersifat kampungan dan ‘alami mengingatkan asal-usul orang kampung dan desa bersama sawah bendang, lembu kerbau dan pohon kayu yang menghijau melatari fitrah kemanusiaan bagi masyarakat kampung Melayu.

“Rasa kedamaian, ketenangan dan kegembiraan tidak dapat ditafsirkan oleh benda dan harta tetapi oleh perasaan kasih sayang dan rahmat,” katanya dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada jurugambar yang berjaya mencapai kemenangan tersebut. – MalaysiaGazette