Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ramkarpal Singh yang beliau gagal mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Dalam Negeri pada 27 Jun 2018, beliau telah memaklumkan kabinet telah memutuskan supaya kes kematian Beng Hock dibuka semula.

Malah beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun supaya mengambil tindakan segera berhubung keputusan tersebut.

“Susulan daripada arahan saya dan surat daripada Jabatan Peguam Negara bertarikh 17 Julai 2018, PDRM telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas yang diketuai oleh Datuk K Manoharan untuk menyiasat semula kes ini.

“Pasukan Petugas Khas ini telah menyiapkan kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut pada 18 Oktober 2018.

“Kenyataan saya bahawa pihak polis sedang menunggu arahan daripada Peguam Negara seperti yang dilaporkan oleh media pada 25 Oktober 2018 adalah merujuk kepada arahan lanjut daripada Peguam Negara berhubung kertas siasatan yang telah diserahkan oleh Pasukan Petugas Khas.

“Peguam Negara telah memberikan arahan tertentu kepada Pasukan Petugas Khas pada 17 Disember 2018 dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhyiddin, kenyataan Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tidak benar sama sekali.

“Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, beliau (Ramkarpal) sepatutnya lebih cermat dalam membuat sebarang kenyataan terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran kerajaan.

“Saya berasa amat kesal dengan kenyataan tersebut,” ujarnya.- MalaysiaGazette