Ujian peluru berpandu Iran telah mencetuskan ketegangan antara Tehran dan negara-negara Barat. Foto Agensi

PARIS – Perancis meminta Iran segera menghentikan semua aktiviti yang boleh dikaitkan dengan peluru berpandu balistik yang boleh membawa kepada senjata nuklear.

Gesaan itu dibuat selepas Teheran memaklumkan ia akan meletakkan dua satelit ke orbit.

“Perancis mengingatkan semula bahawa program peluru berpandu Iran tidak sesuai dengan Resolusi Majlis Keselamatan 2231.

“Kita menyeru agar Iran segera menghentikan semua aktiviti berkaitan peluru berpandu balistik yang direka untuk membawa senjata nuklear, termasuk ujian menggunakan teknologi peluru berpandu balistik,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri, Agnes von der Muhll.

Von der Muhll menjawab komen Presiden Hassan Rouhani pada Khamis, yang mengatakan dua satelit akan dihantar ke ruang angkasa dengan menggunakan peluru berpandu Iran. – MalaysiaGazette