Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dikenakan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Myanma pada September tahun lalu. foto Agensi

YANGON – Mahkamah Myanmar menolak rayuan dua wartawan Reuters yang disabitkan kesalahan melanggar Akta Rahsia pada September lalu.

Wa Lone dan Kyaw Soe Oo telah dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara.

Tetapi dalam keputusan, Hakim Aung Naing menggunakan istilah “hukuman yang sesuai”.

Hakim memberitahu, peguam bela tidak memberikan bukti yang cukup untuk menyatakan mereka tidak bersalah.

Wa Lone dan Kyaw Soe Oo ditahan ketika memiliki dokumen rasmi yang diserahkan oleh pegawai-pegawai polis.

Ketika itu, kedua-dua wartawan berkenaan sedang menyiasat kes penganiayaan ke atas komuniti Rohingya – yang menyebabkan beratus-ratus ribu orang melarikan diri ke Bangladesh.

Sementara itu, Ketua Pengarang Reuters, Stephen J. Adler memberitahu, penolakan mahkamah itu merupakan ketidakadilan kepada dua wartawan berkenaan.

“Melaporkan berita bukan satu jenayah dan wartawan di Myanmar tidak bebas,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, kedua-dua wartawan itu boleh membuat rayuan di Mahkamah Agung, yang dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan.

Kedua-dua wartawan itu telah dipenjarakan lebih dari setahun. – MalaysiaGazette