Jayme Closs

WINCONSIN – Seorang remaja perempuan yang hilang pada bulan Oktober lalu selepas ibu bapanya dibunuh telah ditemui selamat.

Jayme Closs, 13, ditemui pada malam Khamis.

Ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 56 dan 46 tahun ditemui mati ditembak di kediaman mereka tahun lalu.

Polis berkata, seorang suspek yang dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan dan kehilangan Jayme telah ditahan.

Media tempatan melaporkan, Jayme telah berjaya melarikan diri dari sebuah rumah dekat Gordon, Winconsin dijumpai dalam keadaan tidak bermaya oleh penduduk.

Polis bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut dan akan mengadakan sidang akhbar pada hari Jumaat.

Jayme dilaporkan ditemui di kawasan pembangunan kecil dengan penduduk yang sedikit kura-kira enam batu dari timur Gordon.

Minneapolis Star Tribune memetik seorang guru di sebuah sekolah tempatan yang mendakwa seorang jiran berjalan bersama anjingnya telah mengetuk pintu rumahnya setelah menemui Jayme.

Guru itu berkata, keadaan Jayme kurus, kotor dan memakai kasut yang bersaiz besar.

Mereka kemudian menghubungi polis.

Suspek ditahan selepas beberapa minit dan Jayme kini dibawa ke hospital untuk rawatan. – MalaysiaGazette