Datuk Seri Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa

PUTRAJAYA- Selagi penceramah yang berasal dari India, Dr. Zakir Naik tidak menimbulkan apa-apa isu di negara ini beliau bebas untuk mengadakan ceramah dan tinggal di Malaysia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, mana-mana penceramah termasuk Zakir perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Zakir berada di negara kita tetapi kita tidak mengekstradisi beliau kerana setakat ini kehadiran beliau tidak menimbulkan masalah kepada kita tetapi beliau tetap perlu mengikuti peraturan-peraturan negara dan negeri yang telah ditetapkan.

“Menyentuh mengenai hubungan antarabangsa pula, saya serahkan kepada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri di dalam hal ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mujahid antara syarat asas yang wajib dipatuhi oleh semua penceramah di negara ini termasuk Zakir adalah penganjuran ceramah mestilah mendapat kelulusan terlebih dahulu manakala penceramah pula tidak mempunyai aduan daripada orang ramai mengenai apa-apa isu yang menyentuh ketidakharmonian serta isu keselamatan di dalam masyarakat Malaysia.

Penceramah juga tidak boleh membawa fahaman yang tidak sesuai dengan amalan orang Islam di Malaysia.

“Setiap negeri ada syarat masing-masing jadi semua penceramah mesti mematuhi syarat-syarat tersebut.

“Saya tidak boleh sentuh mengenai negeri-negeri lain tetapi untuk Wilayah Persekutuan yang berada di bawah jagaan saya, kami masih belum menerima apa-apa aduan mengenai beliau,” katanya lagi.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di India menegaskan, Malaysia masih memerlukan lebih banyak bukti rasmi daripada kerajaan India sebelum boleh mengekstradisi Zakir.

Terdahulu Mujahid menyerahkan peruntukan e-khas sebanyak RM110,000 kepada 13 badan bukan kerajaan dan persatuan dari Selangor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Mesyuarat kabinet pada Julai tahun lalu telah meluluskan peruntukan khas Perdana Menteri (e-khas) berjumlah RM1 juta kepada Menteri Persekutuan dan RM500,000 kepada Timbalan Menteri untuk diagihkan kepada NGO dan persatuan yang layak. – MalaysiaGazette