IMBAS KEMBALI. Datuk T.Mohan (tengah), Datuk Sivaraajh Chandran dan Datuk T. Murugiah (kanan) bergambar kenangan selepas diumumkan sebagai Naib Presiden MIC di Kuala Lumpur pada 21 Oktober 2018. foto AFFAN FAUZI.

KUALA LUMPUR – UMNO diberi peringatan agar tidak sesekali membuat pusingan u  seperti sebelum ini berhubung isu kerusi Parlimen Cameron Highlands kepada MIC.

Sudah tentu pengorbanan yang dilakukan oleh MIC dengan menyerahkan kerusi ‘tradisi serta depositi tetap’ kepada calon UMNO pada pilihan raya kecil nanti dilakukan demi survival BN.

Dalam percaturan politik kali ini, Orang Asli dijangka akan menjadi king maker dalam PRK Cameron Highlands paling sengit apatah lagi tampuk kuasa kerajaan pusat dimiliki oleh Pakatan Harapan (PH).

Walaupun kerajaan negeri masih lagi milik BN namun pada hemat MIC, ia tidak seharusnya memandang rendah terhadap parti lawan yang kini memiliki kuasa kerajaan pusat.

Dengan meletakan calon dalam kalangan Orang Asli iaitu, bekas Penolong Pesuruhjaya Polis, Ramli Mohd. Nor sebagai calon BN kali ini dianggap akan memberi kemenangan selain daripada motivasi baharu selepas pelbagai isu termasuk kekalahan besar BN pada PRU-14.

Tetapi pada masa yang sama, Malaysia Gazette difahamkan, masih ada sedikit rasa gelisah dalam kalangan ahli serta penyokong MIC seandainya kerusi yang dipinjamkan itu akan ‘diambil’ selama-lamanya oleh UMNO.

Mereka mengimbas sejarah ketika zaman Datuk Seri G. Palanivel menerajui MIC, parti itu pernah ‘meminjamkan’ dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak iaitu Behrang dan Pasir Panjang kepada UMNO.

Perjanjiannya adalah pertukaran kepada dua keahlian Dewan Negara namun sehingga kini kedua-dua kerusi DUN itu tidak pernah diberikan semula.

Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah yang sebelum dikatakan bakal menjadi calon untuk kerusi Cameron Highlands pada PRK kali ini berkata, pihaknya optimis tentang janji antara UMNO dan MIC.

Jelasnya, beliau juga maklum dengan keresahan khasnya dalam kalangan ahli-ahli parti serta masyarakat India yang menganggap penyerahan kerusi tradisi adalah sesuatu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita maklum tentang keresahan dalam hati masing-masing. Seperti yang diulang berkali-kali malah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri telah menyatakan secara terbuka semalam MIC berjiwa besar meminjamkan kerusi ini.

“Kita juga harap UMNO akan berpegang kepada janji yang telah dibuat kali ini dengan hanya sekadar meminjam kerusi milik MIC. Ianya hanya diserahkan untuk PRK kali ini sahaja.

“MIC berkorban atas semangat setiakawan dan kemenangan lebih besar bagi BN pada PRK kali ini dan bukan ‘mengorbankan’ selamanya kerusi Cameron Highlands yang telah kita menangi sejak mula bertanding.

“Kita percaya dengan UMNO dan memberi peluang kepada calon lain selain daripada MIC untuk bertanding bagi memastikan peratusan dan majoriti lebih berarah kepada kita tetapi kita harap UMNO akan berpegang pada janji mereka juga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Parlimen Cameron Highlands mencatatkan jumlah pengundi seramai 32,048 dengan Melayu sebanyak 34.24 peratus; Cina (32.29 peratus); India (12.48 peratus) dan lain-lain 20.98 peratus. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan