YaPEIM
Temubual bersama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar di Bilik Mesyuarat LPA, Grand Seasons Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memfokuskan langkah bagi mengurangkan perbelanjaan yang tidak munasabah bermula awal tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, setiap perbelanjaan yang dikeluarkan oleh agensi itu hanya perlu digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya.

“Kita di YaPEIM ini bagi tahun 2019 mahu mengurangkan kos yang tidak sepatutnya dan cuba meningkatkan produktiviti.

“Sebab dengan RM1 yang kami ada, kita kurangkan kos margin akan bertambah dan kos akan lebih efisien,” katanya dalam satu wawancara khas di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Daud, YaPEIM dibawah kendaliannya akan cuba membawa satu impak pengukuran besar kerana agensi itu memiliki pelbagai skim-skim tertentu yang boleh memberi kesan positif kepada masyarakat.

Katanya, dalam konteks Islam pada hari ini masyarakat mahu konsep kepercayaan itu wujud selepas timbul isu “defisit kepercayaan” dan negara perlu membina semula perkara itu demi kebaikan bersama.

Disebabkan itu tambah beliau, YaPEIM akan memastikan tidak berlaku sebarang pembaziran dalam setiap perbelanjaan yang dikeluarkan serta tidak mudah berlaku aktiviti pengeluaran wang dengan sesuka hati.

“Sebagai kesimpulan memang kita berada dalam satu suasana yang mencabar dengan harga barang mentah kita pun semakin kurang tetapi kehebatan di Malaysia ini adalah dengan modal insan.

“Inilah yang menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang maju kehadapan dan modal insan ini adalah perkara yang dekat dengan YaPEIM,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, untuk melihat YaPEIM menjadi penggerak ekonomi kepada umat Islam di negara ini modal insan merupakan perkara penting yang perlu dititikberatkan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan