Timbalan Pengerusi BN yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan bersama Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor serta barisan kepimpinan tertinggi BN mengangkat tangan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2019.

BRINCHANG – Barisan Nasional (BN) amat optimis dengan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Cameron Highlands pada kali ini dengan jangkaan mendapat mejoriti sekurang-kurangnya 2,000 undi.

Malah MIC bertindak meminjamkan kerusi tradisi yang telah dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 apabila calonnya, Datuk Seri SK Devamany menang dengan majoriti amat selesa sebanyak 6,260 undi.

Bagaimanapun, pada  PRU 2008 ia turun kepada 3,117 undi, majoriti menjunam kepada 462 undi pada PRU 2013 yang ditandingi oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Pada PRU 2018 pula, angka tersebut itu ‘naik’ sedikit kepada 597 undi yang ditandingi oleh Datuk Sivarrajjh Chandran sebelum kemenangannya dibatalkan baru-baru ini dengan alasan wujud unsur rasuah.

Walaupun MIC yakin dapat mempertahankan kerusi Cameron Highlands dengan tindakan berani tidak membuat rayuan berikutan pembatalan kemenangan tersebut, sebaliknya mahu kembali mengadakan pilihan raya bagi dengan memberi mandat kepada rakyat.

Bagaimanapun baru-baru ini parti komponen Barisan Nasional mengadakan mesyuarat berhubung pemilihan calon ‘winnable’ memandangkan Sivarrajh tidak boleh bertanding untuk tempoh lima tahun akan datang, wujud formula ‘baik’ bagi membolehkannya mengekalkan kerusi itu daripada dirampas Pakatan Harapan.

Begitu kata-kata Naib Presiden MIC, Datuk T. Murugiah ketika ditemui MalaysiaGazette semalam di Cameron Highlands.

Kata Murugiah yang juga pada awalnya diyakini akan menjadi calon pilihan MIC menggantikan Sivarrajh berikutan rekod cemerlangnya ketika menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dahulu, keputusan untuk meminjamkan kerusi itu bukan mudah.

“Tetapi kita perlu ingat, kemenangan ini amat penting bukan sahaja buat MIC tetapi keseluruhan barisan pembangkang termasuk Pas sendiri. Kita mendapat sokongan serta jentera Pas bagi memastikan kemenangan ini.

“Bagaimanapun, kita juga mempunyai beberapa isu apatah lagi yang terbaru berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib yang dikatakan berlaku kerana rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafields. Kemarahan itu masih belum reda malah ada nada pihak tertentu yang akan sengaja menimbulkannya kembali ketika kempen.

“Tidak cukup dengan itu, keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya kemudian SPR yang memutuskan Sivarraajh bukan sahaja tidak boleh bertanding malah juga tidak boleh mengundi untuk tempoh lima tahun akan datang. Hakikatnya, beliau adalah antara pemimpin terbaik serta lantang yang kita ada.

“Itu juga sebenarnya telah melemahkan moral serta semangat yang ada pada kita, malah serangan bertubi-tubi akan dikeluarkan bagi cubaan menjatuhkan beliau serta MIC lagi, semua ini akan membantu pihak lawan untuk menang.

“Sebagai alternatifnya, kita diberikan cadangan adalah lebih baik meletakan calon seperti bekas polis kanan seperti Ramli Mohd Noor adalah satu cadangan amat tepat pada saat genting ini.

“Malah, Ramli datangnya daripada suku kaum Semai antara suku Orang Asli yang terkenal di sana sekaligus telah memberikan kelebihan untuk mempertahan kemenangan di sembilan PDM dihuni masyarakat pribumi itu.

“Mengapa kita tidak ambil peluang ini? Malah kita sangat optimis boleh menang majoriti sekurang-kurangnya 2,000 dengan adanya calon dalam kalangan Orang Asli yang pastinya akan mendapat sokongan lebih baik,” katanya.

Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi Melayu di Parlimen P078 ialah seramai 10,820 orang atau mewakili 34 peratus, Cina 9,524 (30 peratus) dan India 4,798 (15 peratus).

Manakala pengundi Orang Asli atau Orang Asal pula seramai 6,964 orang yang mewakili 23 peratus pengundi di sana.

Jadi adalah sesuatu yang tidak ‘mustahil’ seandainya ada jangkaan yang mengatakan undi penentu di Cameron Highlands sebenarnya terletak di tangan pengundi Orang Asli.

Murugiah menambah, kemenangan ini hampir pasti jika mengikut peratusan pecahan kaum trend sokongan yang telah diperoleh oleh BN dan PH pada PRU13.

“Kita telah selidik semua aspek, adalah tidak benar MIC serah kerusi bulat-bulat sahaja malah tidak betul untuk mengatakan BN tidak mempunyai strategi.

“Ramli adalah aset kepada kita, bukan sahaja beliau anak tempatan dan antara yang paling berjaya dalam kalangan masyarakat Orang Asli malah latar belakang keluarganya seperti bapanya dari perkampungan Orang Asli manakala ibunya dari Gua Musang, Kelantan,” ujarnya.

Murugiah

Dalam pada itu, Murugiah juga mendedahkan sokongan secara umumnya sebenarnya mungkin sedikit sebanyak akan berpihak kepada BN ketika ini apatah lagi pelbagai isu sedang dihadapi oleh PH.

“Rakyat mengundi bukan kerana mahu tumbangkan BN sahaja sebaliknya termakan dengan pelbagai janji manis serta retorik yang ditaburkan oleh PH ketika itu. Apabila menjadi kerajaan, bukan sahaja pelbagai pusingan U dilakukan oleh mereka tetapi pada masa yang berterusan menuding jari.

“Bayangkan kini rakyat lebih terbeban dengan SST, lebih teruk daripada GST. Bukan saya cakap, rakyat sendiri. Bagaimana pula isu dalaman parti politik dalam PH sendiri yang seolah-olah tidak berkesudahan?

“Ketika ini rakyat bukan sahaja celik tetapi sebenarnya mereka juga mahu pembangkang bagi memastikan wujudnya ‘semak dan imbang’, jika tidak kuasa mutlak diberikan dan semuanya akan porak peranda. Jika minta masa tidak apa, tetapi kerajaan ada ini suka sangat buat pusingan U.

“Apa sahaja yang diburuk-burukan dulu kini dikatakan baik, pada mereka sekadar tukar nama cukuplah. Keadaan ekonomi juga tidak menentu, pelbagai inisiatif yang pernah ada dipotong begitu sahaja atas alasan jangan bagi rakyat ‘malas’.

“Macam-macam lagi sebenarnya, pada saya rakyat pastinya tidak mahu memberikan kuasa sepenuhnya kepada PH kerana mungkin akhirnya tidak aka nada suara untuk membela atau melakukan keseimbangan itu, tempoh tujuh bulan cukup mengajar rakyat,” ujarnya.

Murugiah juga tidak menolak faktor keputusan Pas untuk tidak meletakkan calon memberi kelebihan kepada BN untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus undi daripada penyokong parti Islam itu.

“Lebih 3,500 pengundi menyokong Pas pada PRU lepas, menyebabkan BN hanya mampu meraih sokongan 60 peratus pengundi Melayu di sana. Kini mereka menyokong BN. Kita sememangnya ada peluang cerah,” jelasnya.

Selepas empat pilihan raya kecil sejak beberapa bulan kebelakangan ini dimenangi PH, mungkin kerusi ini akan berpihak kepada BN dengan peningkatan sokongan menerusi ‘formula’ lebih efektif. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan