Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Adun Lanchang merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin bercakap kepada media sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Perumahan Makmur Cameron Jaya, Tanah Rata, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2019

CAMERON HIGHLANDS – Barisan Nasional (BN) optimis untuk mengurangkan undi Pakatan Harapan (PH) di peti-peti undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, usaha itu boleh direalisasian MCA khususnya di peti-peti undi di Lembah Bertam dan Bandar Ringlet.

“Kita telah mengadakan mesyuarat dengan MIC di tempat yang saya jaga dan kita dapati kita ada lebih kurang 2,300 pengundi daripada 5,800 pengundi terdiri daripada Melayu, India dan juga orang asli.

“Insya-Allah kita akan berbincang dengan rakan-rakan kita daripada MCA bagaimana kita nak mengurangkan kekalahan di peti undi terbabit.

“Tapi untuk peti undi Ladang Boh 1, Ladang Boh 2, Habu dan Pos Lemoi ini kita mempunyai keyakinan bahawa kita boleh kekalkan seperti kita menang sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette yang ditemui di Bilik Gerakan MIC-BN Tanah Rata, di Perumahan Makmur Cameron Highlands di sini, malam tadi.

Mohd Sharkar juga berkata, BN mempunyai kelebihan dalam pilihan raya kali ini apabila meletakkan calon tempatan yang juga dalam kalangan orang asli.

“Kelebihan calon BN kali ini kerana dia mewakili 22 peratus undi orang asli di kerusi P078 ini,” katanya.

Katanya lagi, walaupun kerusi ini secara tradisinya dimiiliki MIC, namun keputusan meletakkan calon bukan ahli UMNO tidak menimbulkan pertikaian mana-mana pihak.

“Walaupun kerusi ini milik MIC tapi MIC dia tak rasa apa-apa sebab yang bertanding ini bukan ahli UMNO

“Dia merasakan calon ini yang dipersetujui oleh kami semua, dia bukan calon berat sebelah seperti UMNO ambil kerusi MIC.

“Tapi calon kita iaitu ACP Ramli Mohd Nor ini ialah calon yang tidak mempunyai parti, malah dia hanya calon yang menggunakan simbol BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette