Helikopter Black Hawk buatan Amerika Syarikat.

MANILA – Presiden Filipina berkata kerajaannya tidak akan membeli lagi senjata daripada Amerika Syarikat (AS) selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap negara-negara yang membeli peralatan ketenteraan Rusia.

Dalam ucapannya kepada anggota tentera di wilayah Bulacan, Presiden Rodrigo Duterte berkata, beliau tidak bersetuju untuk membeli peralatan daripada AS memandangkan negara itu merupakan antara negara pertama yang mengkritik perang terhadap dadah yang dilakukannya.

Duterte berkata, beliau akan menggantikan senjata buatan AS, sekutu politik dan tentera tradisi Filipina, dengan peralatan bukan sahaja dari Rusia tetapi juga dari Korea Selatan dan Israel yang beliau lawati pada 2018, lapor news.com.au

Perjanjian ketenteraan antara Filipina dan AS yang dirunding pada tahun lalu dihalang oleh Kongres AS selepas beberapa senator enggan menyokongnya atas dasar pencabulan hak asasi manusia semasa kempen anti dadah yang dilancarkan Duterte menyebabkan beribu-ribu orang terkorban setakat ini.

Presiden itu berkata, AS telah melaksanakan sekatan ketenteraan terhadap negara-negara yang membeli senjata dari Rusia dan China, pesaing urtama ekonomi dan geopolitik Washington di Pasifik.

Kenyataan itu tercetus hanya beberapa bulan selepas Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana mengumumkan negara itu akan membeli 16 helikopter Balck Hawk bernilai AS$240 juta berbanding perlatan buatan Rusia yang lebih murah bagi mengelak sekatan.

Filipina merancang untuk berbelanja sebanyak AS$5.6 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk meningkatkan keupayaan ketenteraannya.

Pada tahun lalu, Filipina membeli jet pejuang dari Korea Selatan, kapal logistik dari Indonesia dan kenderaan bersenjata dari Israel. – Agensi

Tinggalkan Jawapan