Najib
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra bersama penduduk selepas selesai menghadiri Sesi Dialog Bersama Datuk Seri Najib yang membincangkan isu PTPTN, B40 dan Isu-isu Semasa di Residensi Kerinci, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR- “Kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan sampai berkerat rotan,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya mengenai hubungan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas Najib, setakat ini tiada sebarang tanda-tanda perdamaian yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri bagaimanapun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjuang demi rakyat dan negara.

“Tiada isyarat, itu kena tanya dia (Dr. Mahathir).

“Kita teruskan seperti biasa sahajalah.

“Saya cuma suarakan pendapat rakyat dan kita boleh ada perbezaan pendapat tetapi jangan sampai berkerat rotan.

“Ini bukan cara orang Melayu dan kalau boleh jangan ada niat untuk membalas dendam kerana perkara sebegini akan berterusan dan tidak akan habis,” katanya ketika menjawab pertanyaan seorang tetamu yang hadir di Sesi Dialog bersama Datuk Seri Najib di sini hari ini.

Najib dan Dr. Mahathir mempunyai hubungan yang cukup baik sebelum Perdana Menteri itu mengkritik beliau secara umum dan mendakwanya melakukan pelbagai salah laku termasuk berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd.

Susulan itu, Dr. Mahathir mengumumkan meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baharu yang akhirnya bergabung di bawah Pakatan Harapan sebelum memenangi pilihanraya umum ke-14 yang lalu.

Najib pula kini selesa menggunakan platform sosial media untuk menyuarakan pendapat berkenaan isu-isu semasa negara serta mengkritik dasar-dasar kerajaan baharu.

Ketika ditanya wartawan, Najib berkata, beliau akan terus menyatakan pendapatnya dan memperjuangkan suara rakyat.

Menyentuh mengenai pilihanraya kecil Cameron Highlands, Najib berpendapat, calon Barisan Nasional masih mempunyai peluang walaupun Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas menarik diri di saat akhir dan menyatakan sokongannya kepada Pakatan Harapan.

“Ia tidak menjejaskan peluang BN untuk menang kerana calon kita berwibawa dan jentera BN akan bekerja sepenuh hati.

“Cuma saya harap tiada lagi ugutan seperti yang dilakukan oleh seorang senator kerana ia menyalahi peraturan pilihanraya,” katanya lagi.

Menurut Najib, beliau mungkin akan turun berkempen di Cameron Highlands kerana telah menerima jemputan daripada penduduk tempatan.

“Menurut Menteri Besar, ada banyak jemputan dan saya sedang mempertimbangkannya kerana Pahang dekat dengan hati saya,” ujar Ahli Parlimen Pekan itu lagi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.