Timbalan Pengerusi BN yang menjalankan tugas-tugas Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hassan memeluk erat bersama Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas secara mengejut bertindak menarik diri pada saat-saat akhir dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) P078 Cameron Highlands sebentar tadi.

Beliau juga membuat kejutan apabila mengumumkan dirinya akan berhempas pulas memastikan kemenangan besar bagi calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran selain daripada ikrar taat setia terhadap kepimpinan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kavyeas membuat pengumuman itu di perkarangan pusat penamaan calon di SMK Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands bersama kira-kira 30 penyokong beliau yang turut membawa sepanduk logo MyPPP.

“Saya membuat pengumuman tidak akan bertanding PRK Cameron Highlands dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon PH.

“Ketika ini, harus diakui Cameron Highlands yang kita sayangi ini amat memerlukan kerajaan PH di kawasan ini demi pembangunan serta kesejahteraan warganya di sini.

“Saya secara terbuka dan agresif akan turun membantu calon PH untuk menang besar pada PRK ini, PH adalah apa yang diperlukan oleh Cameron Highlands.

“Perubahan oleh PH perlu untuk memastikan kerajaan Barisan Nasional yang selama ini tidak demokratik dan kuku besi tumbang.

“Saya juga ingin menyatakan selaku Presiden MyPPP yang sah, kami akan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim Selepas ini. Hakikatnya Saya sentiasa menyokong mereka sejak dulu lagi,” katanya ketika di temui pemberita.

MalaysiaGazette difahamkan ketika ini MyPPP berdepan dengan isu pembatalan pendaftaran parti malah telah diberikan surat ‘show cause’ yang berakhir semalam, 11 Januari lepas. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan