Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Datuk Seri Sharkar Shamsudin. foto AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2019

CAMERON HIGHLANDS – Barisan Nasional (BN) tidak pernah meragui sokongan 7,050 pengundi Orang Asli kepada parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini kerana mereka satu-satunya bangsa yang sangat mengenang jasa.

Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, walaupun Orang Asli menerima ugutan agar memberi undi kepada Pakatan Harapan (PH), namun kesetiaan mereka tidak berubah kepada BN.

“Insya-Allah walaupun ada ugutan, dan sebagainya, orang asal ini adalah orang yang kenang jasa.

“Mereka sangat mengenang jasa dan juga orang yang hampir dengan mereka, ini sifat orang asal,” katanya kepada MalaysiaGazette di Bilik Gerakan MIC-BN Tanah Rata, di Perumahan Makmur Cameron Jaya, di sini, hari ini,

Sebelum ini, Senator PKR, Bob Manolan Mohd didakwa mengugut ketua-ketua kampung Orang Asli atau tok batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji dan jawatan sekiranya tidak mengundi PH pada 26 Januari ini.

Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang berkata, beliau tidak menolak kemungkinan PH akan menukar calonnya di saat akhir selepas BN menamakan Orang Asli di kawasan itu

“Ini mungkin strategi mereka, kita lagi suka mereka tukar, kalau dia tukar, cuba bayangkan perpecahan yang berlaku.

“Sekarang ini sudah ada dua calon daripada kaum India, yang mana 14 peratus daripada kaum India di sini sudah ada dua calon, kita gembira kalau dia tukar.

“Kalau dia tukar maknanya PH khususnya DAP mereka hanya memikirkan diri sendiri, tidak fikirkan sensitiviti kaum-kaum dalam parti mereka,” katanya.

Ditanya tentang bekas parti komponen BN, MyPPP juga akan meletakkan calonnya, Mohd Shakar bagaimanapun berkata, perpecahan pucuk pimpinan bekas rakan politiknya itu hanya akan merugikan mereka.

“PPP pun mempunyai masalah, kerana difahamkan sekarang ini Datuk Seri Maglin D’Cruz, sedangka Tan Sri Kayveas menyatakan bahawa beliau presiden.

“Sama ada PPP boleh bertanding atau tidak atau Tan Sri Kayveas bertanding sebagai calon bebas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette