Penyokong Barisan Nasional mula berarak kira-kira jam 9.05 pagi bagi mengiringi calonnya, Ramli Mohd Nor ke pusat penamaan calon di SMK Sultan Ahmad Shah Tanah Rata.
TANAH RATA- Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang bermula jam 9 pagi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.
Tinjauan MalaysiaGazette seawal jam 8 pagi tadi mendapati penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mula berkumpul dan memasuki Persiaran Dayang Endah masing-masing menuju ke padang Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan parkir Taman Agro Teknologi Mardi.
Bagaimanapun penyokong PH hanya mula berarak di Persiaran Dayang Endah kira-kira jam 8.41 pagi tadi yang diketuai oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.
Manakala penyokong BN pula mula berarak mengiringi calonnya, Ramli Mohd Nor ke pusat penamaan calon tepat jam 9 pagi tadi selepas mengaminkan bacaan doa.
Turut mengiring calon BN, pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malaysia Gazette dimaklumkan sepanjang penamaan calon, seramai 500 anggota polis ditempatkan sebagai langkah berjaga-jaga di sekitar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah.
Kelihatan juga beberapa van ambulans diletakkan di tempat penyokong parti politik yang berkumpul berhampiran pusat penamaan calon ini bagi langkah awal sekiranya berlaku kecemasan.
Uniknya proses penamaan calon PRK kali ini di mana pihak polis tidak meletakkan sebarang halangan jalan raya sama ada kon mahupun kawat besi bagi mengelakkan pertembungan penyokong yang bertanding. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan